Monday, March 30, 2009

Bicara 7, Tentang Hantu dan Harimau

Assalamu'alaikum warahmatullah.

Bicara Tentang Hantu dan Harimau


Kembali saya di sini lagi untuk berkongsi bicara dengan saudara-saudaraku sekalian. Kisah Hantu dan Harimau.

Kira kira 10 tahun yang lalu, saya baru berpindah dari sebuah negeri di utara tanah air ke Selangor. Saya berjaya pendapat sebuah rumah sewa, rumah teres dua tingkat dengan harga yang berpatutan. Rumahnya besar 24x75, lengkap dengan kabinet dapur sekali. Pada waktu itu, isteri saya masih lagi bertugas di tempat lama, jadi saya seorang sahaja yang mendiami rumah tersebut.

Oleh kerana saya seorang sahaja di situ, rutin harian saya biasanya hanya pulang untuk makan dan tidur sahaja, iaitu kira-kira jam 1 atau 2 pagi. Jadi selalunya saya amat penat dan terus terlelap dengan cepat tanpa menyedari apa-apa di sekeliling lagi. Tempat tidur saya hanyalah sehelai TOTO yang telah dilipat dua, saya letakkan di sudut ruang tamu, berdekatan dengan pintu besar.

Pada suatu hari, saya perlu untuk pulang lebih awal, isteri saya akan berpindah ke rumah itu, dan saya perlu membersihkan rumah termasuklah membasuh lantai. Saya pulang ke rumah agak awal, kalau tak silap jam 9 atau 10 malam. Terus saya melakukan aktiviti membersihkan rumah itu. Oleh kerana lantainya basah dan saya mahu mengeringkannya dengan lebih cepat, saya switch-on semua kipas yang ada, di ruang tamu (di bawah), di atas pula ada 2 lagi kipas yang saya pasang.

Setelah berhenti sejenak, melihat sekeliling, berpuas hati akan pekerjaan saya yang sudah siap itu, tiba-tiba saya kedengaran sesuatu dari tingkat atas! Saya amat-amati bunyi itu, agak aneh, tidak seperti bunyi binatang, malah bila saya fokus kan betul betul, bunyinya seperti seorang tua yang batuk batuk. Perasaan seram dan sejuk mula menghantui saya. Saya mula terbayangkan berbagai bagai kemungkinan. Agaknya saya telah menggangu 'sesuatu' semasa saya membersihkan rumah tadi. Batuk-batuknya itu berterusan sekejap perlahan dan sekejap kuat.

Ya Allah, takutnya saya pada waktu itu.

Apa yang saya lakukan? Saya beranikan diri, dengan mulut saya terkumat-kamit membaca ayat kursi (entah berapa kali) dan ayat ayat lain juga, saya dengan perlahan-lahan menaiki tangga rumah itu ke tingkat dua. Perasaan takut bertambah dan masa yang sama saya kuat kan semangat lagi. Saya nekad, saya akan hadapinya, InsyaAllah dengan pertolongan Allah saya akan selamat.

Sebelum saya teruskan ini, saya mahu ketengahkan persoalan Hantu ini. Adakah kita patut takut kepada Hantu dan adakah syirik jika kita percaya kepada hantu.

Jika soalan ini ditanya kepada saya, saya akan menjawab sebegini. Hantu itu seperti Harimau, dan Harimau itu seperti Hantu. Jadi, Ya, kita perlu takut kepada Harimau dan Hantu, kerana kedua-duanya boleh memudharatkan kita dengan izin Allah! Dan, hendaklah kita berusaha untuk menghidar dan menyelamatkan diri daripada Hantu dan Harimau ini. Perlu diingatkan bahawa kedua-dua Harimau dan Hantu (dan apa saja makhluk lain) tidak boleh memudahrakan kita tanpa izin Allah. Jika kita katakan sebaliknya, maka syiriklah jadi nya! Ingat ya, bukan sahaja Hantu, malah Harimau, Kucing, Semut, Tebuan, waima dengan Orang pun kita boleh menjadi syirik jika tidak kena gaya dan i'tiqadnya.

Mahu tahu kesudahan kisah saya tadi?
Begini, sampai di tingkat 2 tersebut, saya dapati bunyi tersebut sudah berubah! Ia sebenarnya ialah bunyi kipas yang berputar. Gema dari rumah yang kosong itu telah membuatkan bunyinya kedengaran seperti orang yang batuk apabila saya berada di tingkat bawah. Alhamdullillah tidak perlu saya berhadapan dengan makhluk yang tidak saya kenali.

Bertemu lagi di lain kali.

Allahu'alam.

Nota:
a. Harap maaf, saya baru belajar blogging, mana-mana silap dan salah dalam gaya bahasa dan perkataan (dan lain-lain juga) sila beritahu pembetulannya.

Sunday, March 29, 2009

Bicara 6, Tentang Keutamaan

Bicara Tentang Keutamaan

Assalamu'alaikum warahmatullah.

Apa khabar semua. Sudah beberapa hari saya tidak contribute di sini. Saya fikirkan saya perlu lebih berhati-hati tentang kandungan dan kisah yang saya bawakan semoga tidak membawa kepada fahaman yang salah atau negatif.

Hari ini saya mahu kongsikan 'Kisah Balik Kampung'. Untuk untuk itu saya terlebih dahulu perlu mengaku bahawasanya saya sudah pun berkahwin dengan seorang isteri. Walaubagaimana pun jika ada pembaca perempuan yang berminat, saya masih lagi mempunyai 3 tempat kekosongan, dengan syarat yang amat ketat. Alamak, ke situ pulak perginya.

Baiklah, kisahnya begini. Saya dan isteri saya berkenalan agak lama sebelum berkahwin. Jadi pada waktu 'planning' yang lama itu banyak benda kami bualkan untuk mengenal hati budi masing-masing. Salah satu topik yang menarik ialah topik 'Balik Kampung' untuk Hari Raya. Saya sebagai bakal ketua keluarga (ketika itu kiranya masih tiada lantikan lagi) memberi keputusan, "Balik Kampung tak perlu begitu rigid dan tidak lah perlu jadual untuk selang seli." yang mana saya berniat di dalam hati saya masih mempunyai emak dan ayah, tanggungjawab saya untuk menjenguk mereka, jadi boleh saya lebihkan di sebelah kampung saya.

Hmm.. tapi setelah berkahwin, topik tersebut datang kembali! Rupa-rupnya isteri saya masih ingat tentang perbincangan tersebut. Akan tetapi dia memahaminya dengan amat bertentangan sekali, iaitu dia berharap lebihkan baliknya di sebelah kampung dia. Alamak bagaimana mungkin? Begitulah kita manusia sentiasa mengharapkan lebih dipihak kita, dan kurang perihatin untuk pihak orang lain. Apabila topik ini dibincangkan, kami ada sampai bermasam muka dan tidak puas hati. Hmm begitulah lumrah hidup. Siapa yang mengalah itu lah yang menang!

Balik kepada perbicaraan kita tentang "Keutamaan". Muslim (lelaki) keutamaannya ialah seperti berikut:

1. Allah & Rasul
2. Ibu bapa
3. Isteri & anak-anak
4. Saudara-mara
5. Jiran tetangga
6. Semua saudara Islam yang lainnya

Untuk muslimat (perempuan) pula keutamaan Suami adalah tempat kedua selepas Allah dan Rasul, kemudia barulah Ibu, bapa dan saudara mara.

Banyak hadith yang menerangkan tentang perkara ini dan tidak perlu disangsikan lagi. Cuma, Allah telah menjadikan ini sebgai satu cubaan untuk kita, terutamanya untuk si lelaki, kita bersama isteri kita setiap hari, jadi kita lebih perihatin terhadapnya berbanding dengan ibu bapa kita yang sudah tua di kampung.

Untuk si isteri (atau bakal isteri), beringatlah, dan janganlah berkira sangat dengan suami mu. Dia sangat sayangkan kamu dan mungkin akan melanggar keutamaan yang Allah tetapkan jika kamu mendesak. Tolonglah peringatkan suami mu tentang keutamaan yang betul ini, walau pun dikira pahit. Itu lah yang akan dipandang dan diberi ganjaran oleh Allah, insyaAllah.

Nak tahu bagaimana kesudahan keputusan balik kampung untuk keluarga saya? Sekarang untuk menjadikannya adil, terpaksalah bergilir-gilir, tahun ini ke sana, tahun depan ke sebelah satu lagi.

Saya harapkan pengalaman ringkas ini dapat memberi manfaat kepada semua.


Allahu'a'lam.

Friday, March 27, 2009

Bicara 5, Tentang Si Semut

Assalamu'alaikum.

Alhamdulillah, setelah siap 3 tajuk tajuk wajib yang telah di-published sebelum ini, rasanya lega. Jadi untuk bicara kali ini saya akan gunakan bahasa yang lebih tak formal dan ringan.

Bicara Tentang Si Semut

"Si Semut" itu lah saya. Saya mahu kongsikan satu kisah pendek tentang saya sendiri. Masih ingatkah, saya ni agak penakut dan pemalu. Masih lagi terfikir, satu hari nanti jika dari apa yang ditulis ini semua dapat diketahui siapa saya sebenarnya, di manakah saya mahu lari menyembunyikan diri, ataukah saya boleh menghadapinya (bagaimanakah menghadapinya??)

Saya seorang yang EGO. Begitulah tajuk kisah saya. Daripada kecil di sekolah rendah, saya rasa saya amat bertuah (dipermudahkan oleh Allah), dalam banyak urusan saya mendapat keputusan yang baik walaupun dengan usaha yang sedikit sahaja.

Syukur Alhamdulillah.

Dengan semua itu, kadang-kadang EGO saya memuncak dan mulalah perasaan 'perasan genius' menghanyutkan diri. Apa tidaknya, jika usaha lebih kurang pun saya boleh dapat macam ni, apa lagi jika saya pulun habis habisan. Sehinggakan pada satu tahap, saya terfikir, saya boleh buat apa sahaja yang orang lain buat, cuma perlu belajar sekejap dan mesti saya boleh tangkap ilmu tersebut!

...Tambahan lagi, saya kerap mendapat apa yang dihajati. Banyak doa-doa kepada Allah yang telah dimakbulkan, Alhamdulillah, tetapi itu juga telah membuatkan saya alpa, bahawa saya hanyalah seorang hamba, Allah juga yang Maha Berkuasa dan Yang Berdiri dengan Sendiri, Tuhan Sekalian Alam. Pada waktu itu, saya begitu ego, merasakan apa saja yang saya mahu Allah akan berikan kerana saya ini sudah menjadi insan yang cukup baik dan special.

Allah Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui.

Dia telah takdirkan saya satu keadaan dan rentetan peristiwa sebagai pengajaran kepada saya.

Allahu Akbar. Ampunilah saya ya Allah.

Sekarang saya sedar, semua itu adalah kemudahan yang Allah berikan kepada saya dan ianya bukanlah main-main atau sia-sia, malah untuk menyedarkan saya, juga memberi cubaan dan peringatan kepada saya, si semut yang ego. Semoga Allah memberikan kekuatan terhadap saya, si semut yang lemah.

Marilah kita sama-sama renungi saat-saat kesusahan dan juga saat-saat kesenangan yang telah kita hadapi, semoga semua itu akan menambahkan kesedaran kita, dan betapa kita fahami Allah itu lah yang Maha Kaya dan Maha Bijaksana yang telah mengaturkan segalanya.

Allah jua lah yang Maha Mengetahui. Allahu'a'lam.

Thursday, March 26, 2009

Bicara 4, Tentang Mati.

Asslamu'alaikum,

Bicara Tentang Mati

Nampaknya buat masa ni bicaranya agak dalam dan berat. Ini ialah kerana saya mahu ketengahkan tajuk-tajuk yang terpenting dahulu iaitu, Islam, Iman dan sekarang ini, "Mati". Kemudian daripada ini, insyaAllah saya akan bawakan kisah-kisah untuk dikongsi bersama.

Tentang Mati, semua yang hidup pasti akan mati, kecuali Allah s.w.t. . Sekecil hidupan serangga, sebesar mamalia di lautan dan waima malaikat sendiri pun akan mati!

Oleh kerana itu, saya mahu kemukakan 2 soalan. Kali ni saya akan cuba bagi contoh jawapan untuk soalan soalan ini juga.

Soalan 1: Sudahkah kita bersedia untuk mati?

Soalan 2: Jika kita boleh memilih, kematian macam manakah yang kita mahu?

Contoh jawapan 1: Ya, saya sudah bersedia.
Alangkah seronoknya jika boleh menjawab seperti ini.
Benar sudah sedia? Adakah semua amalan, rukun Islam sudah tertunai. Adakah semua suruhan Allah telah dibuat dengan betul, cukupkah semuanya mengikut ajaran-ajaran fiqh? Adakah semua larangan Allah telah ditinggalkan dalam aktiviti seharian? Hmm.. kita hari fikirkan sedalamnya, muhasabah diri.
Bilakah kita akan bersedia? Jangan tunggu, sekarang ini juga kita harus mula bersedia, kerana kita mungkin akan mati esok hari!!

Contoh jawapan 2: Jika boleh pilih, saya mahu mati syahid, atau sekurang kurangnya, di tikar sejadah dengan berwuduk dan di dalam masjid.
Jika benar itu yang dihajati, adakah kita membuat rancangan untuk pergi berjihad?
Dan untuk mati di tikar sejadah, berapa minitkah kita berada ditikar sejadah dalam 24 jam seharian. Bandingkan masa kita menonton TV, berinternet, berbual kosong, makan dan lain lain, apakah nisbahnya setimpal. Jika benar mahu mati di tikar sejadah dan di masjid, perlulah kita selalu (5 kali sehari) pergi ke masjid dan berada lebih lama di sejadah kita, sama ada untuk mendengar tazkirah, membaca quran atau pun berzikir.

Allahu'a'lam.

Wednesday, March 25, 2009

Bicara 3, Tentang Iman

Assalamu'alaikum,
Bicara Tentang Iman
Ini adalah satu lagi perkara asas dalam Islam, Iman atau pun Tauhid kepada Allah s.w.t. .

Rukun Iman ialah sebagai berikut: (rujukan dari ms.wikipedia.org)
Percaya kepada Allah
Percaya kepada Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul
Percaya kepada Malaikat-Malaikat
Percaya kepada Kitab-Kitab
Percaya kepada Hari Akhirat
Percaya kepada Qada' dan Qadar

Tetapi sekali lagi yang, saya mahu membuka bicara semoga kita boleh memikirkan dan membuat muhasabah diri sendiri tentang iman kita.
Mari kita perhatikan pada hadith berikut: (Menegah Kemungkaran)

"Barangsiapa diantara kamu yang melihat akan kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Jika sekiranya ia tiada berkuasa, maka hendaklah ia mengubahnya dengan lidahnya. Jika sekiranya ia tiada juga berkuasa, maka hendaklah ia me- ngubahnya dengan hatinya. Dan yang demikian itu (iaitu mengubah dengan hatinya) adalah selemah-lemahnya iman." H.R Muslim

Cuba kita renung sejenak ayat yang terakhir daripada hadith tersebut, "Dan yang demikian itu adalah selemah-lemahnya iman." yang mana merujuk kepada 'mengubah dengan hatinya'. Ini secara tidak langsung menyatakan bahawa jika kita setuju dengan kemungkaran yang kita lihat, bermakna kita sudah tiada iman lagi(??). Sama sama kita renungkan dimanakah kedudukan kita apabila kita melihat kemungkaran, atau adakah kita sekali ada 'saham'nya dalam kemungkaran tersebut?

Astagfirullahalazhim.
Ya Allah, tetapkan lah iman kami, suka kepada ibadah dan amal soleh, dan jadikanlah hati kami benci kepada maksiat dan perkara perkara mungkar.

Allahu'a'lam.

Monday, March 23, 2009

Bicara 2, Tentang Islam

Assalamu'alaikum.
Bicara Tentang Islam

Hadith :
“Daripada Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Agama Islam ditegakkan atas lima perkara, iaitu mengucap dua kalimah syahadat, mendirikan sembahyang fardhu, mengeluarkan zakat, menunaikan haji ke Baitullah (jika mampu), dan berpuasa pada bulan Ramadhan.”
(al-Bukhari dan Muslim)

Marilah kita renung sejenak, Islam kah kita? Sudah tentu kita mahu menjawabnya "Ya" dengan cepat. Walau bagaimana pun, mari kita lihat, dan renungkan soalan-soalan berikut, kita lebih tahu jawapannya daripada orang lain:

1. Adakah kita benar-benar maksudkan apabila kita mengucap dua kalimah syahadat?

"Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah, dan Muhammad itu pesuruh Allah!"
Adakah kita terima dengan sebenar-benarnya Allah itu tuhan, dan kita ini hamba. Adakah kita buat semua yang disuruh Allah tuhan yang mencipta kita, dan kita sudah meninggalkan kesemua larangan-larangannya. Kita sanggup melakukan apa saja atas perintah tuhan Rabbul Alamin tanpa soal dan tanpa malas? Apakah semua pekerjaan yang kita lakukan mengikut lunas lunas yang telah digariskan oleh Allah?

Jika seorang Raja yang hebat mengupah kita untuk melakukan sesuatu perkerjaan (dengan janji yang baik dan juga ancaman buruk), adakah kita akan lakukan semua yang disuruh tanpa curi tulang?

Maha suci Allah, ampunilah kami.

2. Solat fardu 5 waktu.

"Sesungguhnya solat itu tiang Agama." Cukupkah solat kita yang 5 waktu sehari semalam. Bila kah kita terskip atau terpaksa qada' solat kita atas kelalaian kita. Adakah kita solat di awal waktu atau mengikut kelapangan kita yang lebih menjurus ke akhir waktu? Cukup baguskah kualiti solat kita setiap kali? Adakah solat kita lebih bagus pada ketika kita dalam kesusahan dan memerlukan pertolongan dari Allah?

Jika setiap hari Raja yang hebat tersebut (yang garang tapi baik hati) menyuruh kita mengadapnya dan memberi hormat setiap hari, adakah kita akan lewat dan buat sambil lewa?

3. Zakat

Sudah kah kita menyempurnakan tuntutan zakat (cukup nisab dan haulnya). Pastikan ini, jika tidak, kita sama dengan orang yang mencuri hak orang lain.

4. Puasa dalam bulan Ramadhan

Cukupkah puasa kita, ikhlas kah puasa kita? Benarkah kita menghayati ibdat puasa untuk merasakan cabaran menahan nafsu, dan tidak melepaskan nafsu ketika berbuka puasa dan Hari Raya dengan amalan amalan yang membazir?

Ya Allah, ampunilah kami!

5. Mengerjakan Haji, jika mampu

Adakah kita sudah mengerjakan haji? Jika belum, sudah kah kita merancang untuk menunaikannya. Sudahkah kita mendaftar untuk masuk ke senarai menunggu? Sudahkah kita membuat simpanan berskala (bagi yang mampu) untuk kewajiban ini?

Semoga, dengan soalan-soalan itu dan jawapan-jawapan yang kita beri tadi, menjadikan kita seorang Islam yang lebih baik dari semalam. Sentiasa kita perlu bertindak untuk menjadi orang yang lebih baik. Ya, dengan pertolongan Allah.

Ya Allah, tolonglah kami.

Nota:
  1. Rukun Islam 5 perkara, asas kepada agama Islam, ini adalah soalan pokok untuk semua.
  2. Banyak lagi ajaran agama yang perlu diikuti selain dari pada Rukun Islam yang 5 ini!

26 Rabiul Awal 1430

Bicara 1, Tentang Apa?

Assalamu'alaikum.

BismillahirRahmanirRahiim. - Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Bicara Tentang Apa?

Hari ni saya mahu mengucapkan syukur yang tak terhingga kepada Allah yang Maha Penyayang, yang telah membangunkan saya dari tidur yang lama, tidur yang begitu lena.

Ini ialah satu permulaan baru bagi saya, dengan masa yang masih ada pada saya, saya mahu kongsikan kepada semua pembaca bicara-bicara tentang apa yang telah saya lalui, agar boleh diambil iktibar dan pengajaran bersama, semoga kita semua beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat.

Di blog inilah, insyaAllah, saya boleh berbicara, mencurah dan berkongsi apa yang ada dibenak ini tanpa rasa janggal dan tanpa rasa bangga.

Banyak yang saya mahu kongsikan, apa sahaja, berkaitan dengan kehidupan, kematian, kemanusiaan, hal-hal semasa, ya apa sahaja, yang jika diketengahkan di medium atau medan yang lain, boleh nampak janggal dan skema sekali, dan dalam masa yang sama perasaan ujub dan bangga membuak di dada, mengikis pahala-pahala amalan saya yang memang sudah pun sedikit ini.

Saya memohon dengan penuh harapan, semoga apa yang saya ketengahkan di sini:
  • jika ada keraguan dan kesangsian, silalah bertanyakan soalan dan pendapat,
  • jika keliruan dan kesalahan, sila lah beri penjelasan dan pembetulan, dan
  • jika elok dan sesuai pula, silalah sebarkan dalam bentuk soft atau pun hardcopy.

Sekian untuk salam pembukaan ini.

Ya Allah, berikanlah aku kekuatan, berikanlah aku kemudahan untuk ku teruskan hidupku dan untuk ku lalui kematian dan hari pembalasan.

- Si Semut -

25 RabiulAwal 1430