Monday, December 28, 2009

Bicara 14, Tetang Kembalinya Si Semut

Bicara Tentang Kembali Semula Si Semut

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar.

Alhamdulillah.. setelah sekian lama saya tidak menulis di sini, lama menghilang tanpa apa-apa kemas kini pada blog ini. Entah apa yang jadi pada saya.. hmm tentunya ada sebab dia.

Saya perlu membetulkan niat saya dalam hal memblogging ini, bukannya atas sebab sesorang itu, atau sebab orang yang ramai, akan tetapi kerana Allah juga lah saya memblogging ini. Ya, saya memblogging ini untuk berkongiskan pendapat semoga kita sama-sama mendapat peringatan, pengajaran dan mungkin juga pembetulan tetang apa yang kita telah dan akan lakukan.

Alhamdulillah, sepanjang tempoh 'ketiadaan' saya di sini, saya telah diberikan pelbagai nikmat kepada Allah. Nikmat kesihatan yang tidak putus-putus, jika ada sakit pun sedikit amat iaitu dalam bentuk batuk-batuk dan satu gigi yang goyang yang telah beberapa lama. Dari segi harta pula, banyak barangan baru yang tidak begitu perlu yang telah saya belikan untuk memuas kan hati saya. Contohnya, saya telah membeli Jam baru, Travel Beg, Pisau Lipat yang Mahal dll. Alhamdulillah, syukur, dan segala puji-pujian itu hanyalah untuk Mu Tuhan Pencipta Sekalian Alam.

Haruslah kita ingat, tiada yang sempurna di dunia ini. Walau kita punyai wang berjuta dan dapat membeli barangan yang paling canggih dan paling bagus tentu akan ada masalah juga jika Allah takdirkan. Begitulah juga yang saya alami.. oh, jangan salah faham pula yang saya ni mempunyai wang berjuta ringgit!.

Saya mahu ceritakan tentang pengalaman saya membeli Pisau Mahal saya, saya namakan dia MrG2. Ia ialah pisau lipat dari jenis Gerber 2.5 inci dengan fungsi 'assisted opening'. Sebenarnya keinginan saya untuk memiliki pisau sedemikan ini sudah lama, terutama sekali apabila tibanya Hari Raya Haji. Ya, itu lah 'alasan' saya untuk ini, sebelum ini untuk melapah atau memotong daging lembu korban, saya mengguakan pisau askar-swiss saya yang kecil (pisau ini saya telah bawa dan masih lagi bawa kemana-mana sejak 7 tahun yang lalu), walaupun tajam tapi kecil dengan amat sekali. Pada Hari Raya Haji tahun lepas saya tidak sempat untuk melihat-lihat dan membeli pisau baru untuk itu, jadi pada tahun ini saya mula 2 bulan lebih awal.

Sebagaimana biasa, saya akan mula melihat-lihat di internet dahulu, pelbagai pilihan ada dijual di internet, dari yang biasa hinggalah kepada yang amat mahal, dalam pelbagai jenama juga, seperti Buck, Kershaw, Gerber dan sebagainya. Akan tetapi saya lebih selesa jika saya depat memegang dan dapat 'merasa'nya terlebih dahulu. Dan untuk itu, cuba sedikit pilihan yang terdapat di kedai-kedai di sini.

Dipendekkan cerita saya pun membeli pisau tersebut MrG, dengan perasaan gembiranya saya pulang ke rumah pada hari itu. Pada malam keesokkan hari nya saya dapati MrG tersebut tidak boleh ditutup dengan rapat. Hmmm.. bila keadaan tertutup penuh hujung pisau itu masih boleh dirasa dengan hujung jari saya! Hujungnya itu amat tajam jadi jika ditekan kuat, rasanya jari boleh terluka dengan mudah. Ini amat bahaya. Pada hari Jumaatnya, waktu tengah hari saya pergi kembali ke kedai itu untuk membaiki atau ganti yang lain. Saya ingat lagi, saya agak lewat tiba di Masjid Tabung Haji Kelana Jaya akibat MrG ini. Setelah puas 'bertekak' dengan juru jual pisau itu, saya terpaksa meninggalkan MrG itu dahulu untuk pemeriksaan oleh juruteknik pisau. Petangnya saya mendapat panggilan telefon mengatakan bahaya pisau baru MrG2 untuk menggantikan MrG sudah ada dan saya boleh mengambilnya.

Begitulah ceritanya. Alhamdulillah MrG2 tidak menghampakan saya. Pada waktu melapah lembu Hari Raya Korban baru-baru ini, saya kelihatan seperti 'pro', kerana MrG2 yang begitu tajam beraksi, he he he.

Tiada yang sempurna di dunia ini. Allahu'a'lam. Wassalam.

- si semut
10 Muharram 1431H

Friday, May 1, 2009

Bicara 13, Tentang Hebat

Assalamu'alaikum,


Kembali saya di sini setelah beberapa lama.. merayap ke sana ke mari, kekadang hanyut di internet yang luas, melihat-lihat dunia maya yang maha pelbagai, di samping sibuk dengan urusan harian, sambil mencari-cari masa yang sesuai untuk saya kembali ke sarang dan menulis di sini.

Bicara Tentang Hebat

Setelah amat-mengamati, saya bertanya kepada diri sendiri, apakah yang dikejar-kejarkan, atau jika tidak dikejar pun, apakah yang memberi motivasi untuk seseorang itu melakukan sesuatu? Daripada pengalaman dan perasaan sendiri, saya dapati jawaban yang paling popular untuk soalan itu ialah 'kehebatan'. Ini lah sedikit kupasan daripada pengalaman dan pemerhatian saya Si Semut yang kerdil.

Sama ada secara langsung atau tidak, kita sebagai seorang manusia biasa amat cenderung untuk membuktikan kita hebat dalam sesuatu bidang. Tidak kira apa, kita senantiasa mencari peluang untuk menjadi 'hebat' itu. Saya sendiri, telah menceburi pelbagai bidang, dengan niat yang tertentu, tetapi antara saat yang paling best ialah apabila tiba-tiba kita kejutkan seseorang dengan kehebatan kita dalam bidang yang tak sangka. Sama ada kita diberi reaksi dalam bentuk pujian ringkas, atau tepukan gemuruh, atau pun hanya dengan mimik muka tertentu, itu cukup memuaskan hati kita... betul?

Pada hemat saya, ini adalah salah satu benda yang 'merbahaya' yang boleh memakan pahala amalan atau pun usaha yang telah kita lakukan. Sejak menyedari hal ini, saya selalu bertanya pada diri sendiri, kenapakah saya lakukan itu dan lakukan ini, adakah kerana mahu jadi seorang yang hebat dikalangan manusia?? Hebat kerana pandai menyelesaikan masalah, hebat kerana bijak berblog, hebat kerana pandai berbahasa, hebat kerana pandai membawa kereta laju? dan lain-lain.

Sesungguhnya yang paling baik antara kita ialah yang paling banyak Taqwanya kepada Allah s.w.t. . Betulkan lah niat kita dalam setiap hal, semoga kita mendapat ganjaran yang berlipat kali ganda dalam amalan kita yang ikhlas kerana Allah. Jadilah kita seorang yang merendah diri, tunduk dan takut pada Allah sentiasa, walau apa kehebatan kita, itu adalah anugerah daripada Allah juga.

Akan tetapi, jika betul ingatan saya, kita sememangnya dituntut untuk menjadi hebat jika kita bandingkan dengan orang yang bukan Islam, terutamanya dalam suasana peperangan. Ini tertulis dalam hadis, yang lebih kurang membawa maksud, eloklah memakai inai pada janggut dan rambut, untuk menyembunyikan warna putih uban dan nampak hebat untuk berperang. Ya, kita perlu menegakkan agama Allah, kita perlu menang dengan orang-orang kafir!

Allahu'a'lam.

Wassalam.
- Si Semut

Saturday, April 18, 2009

Bicara 12, Tentang Ikhlas

Assalamu'alaikum,


Hmmm saya mula rungsing dengan hala tuju blog ini. Daripada 2 entri yang lepas, satunya tempat saya melepaskan perasaan saya, dan satu lagi berkenaan ilmu dunia tentang blogging. Walaupun pengisiannya tidak seberapa, harapnya kedua-dua blog itu masih bermanfaat untuk kita semua.

Bicara Tentang Ikhlas

Di malam yang tenang ini mari kita berbicara tentang Ikhlas. Tidaklah saya seorang alim atau abid yang pakar dalam subjek ikhlas ini, akan tetapi saya si semut masih mahu berkongsi tentang tajuk ini dari perspektif saya sendiri.

Sebagaimana yang diketahui ramai, dikatakan orang bahawa ikhlas itu seperti seekor semut yang berwarna hitam, di atas batu yang berwarna hitam gelap, dan di malam yang gelap gelita. Begitulah tersembunyinya ikhlas tu, semut yang begitu kecil dan berwarna hitam dalam persekitaran yang demikian, langsung tidak akan dapat dijumpai oleh orang, walau pun dengan mencarinya dengan bersungguh-sungguh. Jika kita renungkan dalam konteks ikhlas, sifat ikhlas itu membuatkan kita melakukan amal kebaikan kerana Allah semata-mata dan tidak bercampur dengan sebab atau alasan sampingan yang lain.

Sebagai contoh, jika kita mahu berpuasa sunat, hendaklah kita ketepikan dan abaikan sebab-sebab yang lain, berpuasa niatnya tulus kerana beribadat kepada Allah sahaja. Banyak sebab yang lain, seperti untuk kuruskan badan, untuk jimatkan perbelanjaan, untuk jimatkan masa (tak perlu keluar makan), untuk join kawan lain yang berpuasa dan lain-lain lagi hendaklah kita ketepikan. Dalam erti kata yang lain, hendaklah kita istiqamah, tak kira lah sama ada kita gemuk atau kurus, sama ada kita ada duit atau tak ada untuk membeli makanan atau mungkin pada hari itu ada makanan percuma yang akan disediakan, tak kira sama ada kita sibuk dan tak sempat keluar untuk makan, tak kira ada kawan yang puasa atau tidak bersama kita, ya tak kira keadaan semua itu, kita puasa hanya kerana Allah semata-mata, itu lah yang terbaik. ISTIQAMAH, tetap dengan amalan tersebut, bukannya bermusim atau atas sebab-sebab keadaan duniawi, itu adalah tanda-tanda ikhlas.

Satu lagi analogi untuk ikhlas ialah, apabila tangan kanan memberi, tangan kiri pun tidak tahu. Apabila memikirkan analogi ini, saya terfikirkan tentang amalan-amalan baik yang telah saya lakukan. Berapa keratlah antara amalan-amalan yang sedia sedikit itu benar-benar ikhlas kerana Allah dan mempunyai nilai di sisi Allah.

Oleh sebab itu, berhati-hatilah apabila kita mahu berkongsi dengan orang lain tentang amalan-amalan baik, tak kena gaya ikhlas kita hilang dan sifat ujud dan takabur pula yang bertandang. Walaupun kita menyebutnya dengan ayat dan intonasi yang paling merendah diri, masih perlu kita hati-hati, kerana sifat-sifat yang tidak baik ini datang dari dalam diri kita sendiri. Ah.. susah betul bab ikhlas ni.

Selain daripada itu, hendaklah kita ingat juga, supaya kita tidak bertanyakan kepada orang tentang amalan-amalan orang lain. Kenapa? Sebabnya, jika kita bertanya, susah lah orang itu mahu jawab, jika ia mengaku membuat amalan tersebut maka darjah ikhlasnya boleh tergugat, dan jika tidak mengaku, menjadi bohong lah pula. Jika ada kawan-kawan saya bertanya kepada saya, adakah awak berpuasa? Maka untuk mengingatkan kawan itu, saya akan jawabnya dengan jawapan "Wrong question!" (Soalan salah!), dengan erti kata lain, perkara itu adalah perkara peribadi yang tak perlu kita hebahkan.

Harapnya nota yang begitu ringkas ini dapat difahami oleh pembaca semua.

Allahu'a'lam (Allah jugalah yang Maha Mengetahui)

Wassalam
- si semut

Monday, April 13, 2009

Bicara 11, Tentang Blogging

Assalamu'alaikum,

Bicara Tentang Blogging


Kembali saya di sini. Alhamdulillah, sememangnya setelah merapu dan meluahkan perasaan hati, perasaan tidak menentu itu berkurang. Ditambah dengan beberapa informasi terbaru yang saya dapat tentang minah itu jiwa saya sudah beransur tenang. Saya juga ada buat posting di blog saya satu lagi (hmm jangan tanya di mana, saya sedang bersembunyi di sini, tidak mahu dijumpai), walaupun bukan tentang hati dan perasaan, ia tetap menolong untuk menghilangkan kekusutan dalam jiwa. Alhamdulillah. Memang betullah bagai dikata orang, blogging ni boleh menolong mengurangkan kekusutan dalam fikiran dan jiwa.

Mari kita berbicara tentang Blogging (untuk Bahasa Melayu, saya gunakan perkataan "memblog").


Saya mula memblog sudah agak lama. Tetapi yang dulu itu tidak konsisten, cuma ada beberapa posting dan kemudiannya ditinggalkan sahaja. Mungkin kerana pada mulanya amat bersemangat untuk meluahkan dan berkongsi apa saja yang ada, tetapi kerana tiada sambutan, tiada feedback, tidak tahu ada ke tidak ada orang yang membaca blog-blog itu, maka motivasi pun turun menjunam, fokuskan dengan aktiviti lain yang lebih menarik.

Di hari-hari yang kemudian ini, barulah saya faham, elemen utama dalam memblog ini ialah feedback yang didapati dari posting-posting. Selepas mengenali (melalui alam maya juga) beberapa pemblog, melihat-lihat di sana sini blog-blog yang ada dan komen-komen yang diberikan dan bagaimana komen-komen tersebut dijawab semula, barulah saya faham, feedback atau komen yang diberi itu juga mengharapkan balasan kembali, tidak diabaikan sahaja. Hmmm yang ini saya memang rasa sendiri :).

Ketahuilah, bagi saya, blog-blog yang saya tulis ini, bohonglah saya jika saya cakap yang saya tidak suka mendapat komen. Saya amat menghargai komen-komen, terutamanya yang membina dan yang boleh saya perbaiki diri dan blog saya. Juga, saya mengalu-alukan komen-komen dalam bentuk soalan, harapnya, saya boleh menolong untuk menjawab dan memuaskan soalan-soalan tersebut. Oh, tetapi ingat, bukannya soalan tentang diri dan peribadi saya ya. Izinkan saya simpan hak saya (reserve the rights) untuk tidak menjawab soalan-soalan yang saya fikir tidak perlu dijawab. Hmm.. macam disclaimer pula ni ya.

Ini adalah antara pengajaran yang saya mahu kongsikan tentang memblog dan membaca blog:
1. Untuk yang baru memblog, ada perlu duduk dan taip. Memang perlukan satu tajuk, supaya perkara yang dicakap itu tidak melilau seluruh dunia. Paling mudah, ceritakan hari anda, atau pun peristiwa tertentu yang berlaku pada hari itu.

2. Gunakanlah bahasa yang betul, ayat yang lengkap dengan titik dan noktah di tempat yang betul. Lebih senang orang membaca dan memahami penulisan kita. Tidak kira sama ada dalam bahasa Melayu atau Inggeris atau lain, gunakanlah bahasa yang betul. Jangan rosakkan bahasa kita.

3. Jangan mengharapkan sangat dengan komen.

4. Jangan harapkan semua komen itu membina dan positif.

5. Bersikap positif dan terbuka dalam membaca komen-komen yang diberi.

6. Balaslah komen-komen yang didapati dengan bijaksana dan berhemah.

7. Jangan bertikam keyboard (bertikam lidah) dengan orang yang bagi komen yang kita tak setuju. Cukup lah menjawab komenya dengan pendek (contoh: "Maaf itu tidak betul dan saya tidak setuju.") dan padam lah komen-komennya yang lain. Ha ha ha.

8. Gambar! Letakkan gambar, ia boleh manarik perhatian untuk pembaca membaca blog anda.


Bagi yang membaca blog:
1. Bacalah dengan teliti dan fahamkan. Jangan salah faham, susah nanti.

2. Jangan obses dengan satu satu blog, ini bahaya. hu hu.

3. Berilah komen kapada posting tersebut, terutamanya jika tidak begitu banyak komen. Penulisnya tentu akan suka.

4. Berilah komen dengan berhemah, tidak kondem atau menghina. Jika mahu membetulkan sesuatu yang ditulis, buatlah dengan hikmah dan sertakan fakta-fakta yang betul.

5. Jangan sedih (he he he) jika komen anda tidak dijawab semula. Penulis memang sudah membacanya dan faham. Pengsan lah si penulis jika mahu jawab semua komen!

Oh.. saya belum lagi betul-betul faham tentang kaedah/proses tag, jadi tak dapat lah saya mengulasnya di sini.

Aduh, panjang pula entri kali ni! Maaf ya.


Wassalam.

- si semut

Thursday, April 9, 2009

Bicara 10, Tentang Merapu I

Assalamu'alaikum,

Bicara Tentang Merapu I

Terlebih dahulu saya mahu mintak maaf, kerana untuk entry yang ini saya akan merapu, ya, merapu sepuas puasnya. Kata orang kalau kita luah kan, mood kita akan pulih kembali. Jadi saya mahu mencubanya di sini. Untuk pembaca semua, bolehlah anggap ini sebagai satu contoh yang tidak baik dan harus dielakkan sama sekali!

Sebenarnya sejak kebelakangan ini mood saya tidak menentu. Sekejap ok, sekejap tidak. Ada masa gembira dan ada masa sedih dan hendak menangis sahaja rasanya. Ini macam perangai orang gila ni kan. Kenapa ya?... Ho ho macam mana saya mahu cerita. Saya bagi amaran jangan salah faham!

Begini, saya mula mengenali seseorang perempuan. Sangat popular blognya. Tetapi semuanya perkenalan itu hanyalah di alam maya (cyber) ini sahaja.

Saya mula membelek-belek blognya. Hmmm.. amat kagum saya dengan isi kandungan, nasihat dan cerita-cerita yang diletakkan di situ. Agaknya saya terus jatuh cinta pada blognya itu. Hampir setiap hari saya membacanya, daripada mula blog itu ditulis, kira kira 3 tahun yang lalu hinggalah kepada posting yang sekarang.. rasanya bagai dia menemani saya setiap hari. Ops.. ini lah yang masalahnya, susah saya mahu bezakan, minatkan blog dan penulisannya kah atau orangnya!

Jiwa saya ni amat sensitif. Saya ada menghantar komen-komen tentang postingnya melalui email, tetapi tiada balasan. Semalam saya dapat tahu dia tidak suka kepada 'stranger' tertentu. Agaknya saya lah tu. Ditambah dengan perasaan ego dan malu, susah untuk bertanya secara terus terang, takut juga malu untuk mendapat jawapan yang negatif, dan takut jika soalan tersebut diabaikan dan tidak dijawab langsung, saya tidak pasti apa yang harus saya lakukan. Ya, saya akan rasa sedih dan tidak menentu, dan mula berfikir dan menganalisa dan seterusnya membuat andaian-andaian yang mungkin tidak betul.

Itu lah sebabnya.

Maha suci Allah, dengan perkara seperti ini pun Engkau boleh bagi cubaan kepada ku.

Ya Allah, bagilah aku petunjuk. Berilah aku kekuatan untuk menghadapi dunia yang penuh cabaran ini.

Pengajaran:
1. Jangan jadi macam saya.

Wassalam.

::si semut

ps: saya letakkan tajuk "Tentang Merapu I", dengan nombor, kerana di masa hadapan kemungkinan besar saya akan merapu lagi. Ha ha ha. Ketawalah dengan saya.

Wednesday, April 8, 2009

Bicara 9, Tentang Doa

Assalamu'alaikum

Bicara Tentang Doa

Sememangnya kita sebagai hamba yang lemah, perlukan dan berhajat kepada banyak perkara. Maka sayugialah kita berusaha dengan sedaya upaya dan berdoa dengan sepenuh hati untuk mencapai hajat tersebut.

Al-Baqarah [1:45]
"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;"

Al-Baqarah [1:186]
"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. "

Kadang-kadang, apa yang kita usahakan dan doakan itu tidak menjadi, dan kita menjadi amat sedih, kadang-kadang juga marah tidak menentu. Kunci dalam perkara ini ialah sabar dan tawakkal (berserah) kepada Allah.
Mari kita sama-sama mengikuti kisah berikut.

Ini ialah kisah benar yang diceritakan oleh Allah swt di dalam Al-Quran surah Yusuf (Surah ke-12). Betapa pilunya Nabi Yaakub kehilangan anak kesayangannya Yusuf dan kemudian pula kehilangan Bunyamin. Saya sertakan babak menarik sahaja di sini, untuk yang lebih lengkap sila rujuk kepada keseluruhan surah itu.

Dari Surah Yusuf:
{ Bermula dari rancangan jahat abang-abang Yusuf mahu memisahkan Yusuf dari Nabi Yaakub }

[12:11]Mereka pun (pergi berjumpa dengan bapa mereka lalu) berkata: Wahai ayah kami! Mengapa ayah tidak percaya kepada kami tentang Yusuf, padahal sesungguhnya kami sentiasa tulus ikhlas mengambil berat kepadanya?

[12:12]Biarkan dia pergi bersama-sama kami esok, supaya ia bersuka ria makan minum dan bermain-main dengan bebasnya; dan sesungguhnya kami akan menjaganya dengan sebaik-baiknya".

[12:13]Bapa mereka menjawab: "Permergian kamu membawanya bersama sangatlah mendukacitakan daku, dan aku pula bimbang ia akan dimakan oleh serigala, ketika kamu lalai dari mengawalnya ".

{ Dan mereka berbohong kepada Nabi Yaakub tentang kehilangan Yusuf }

[12:17]Mereka berkata: "Wahai ayah kami! Sesungguhnya kami telah pergi berlumba-lumba berburu dan kami telah tinggalkan Yusuf menjaga barang-barang kami, lalu ia dimakan oleh serigala; dan sudah tentu ayah tidak akan percaya kepada kata-kata kami ini, sekalipun kami adalah orang-orang yang benar".

[12:18]Dan (bagi mengesahkan dakwaan itu) mereka pula melumurkan baju Yusuf dengan darah palsu. Bapa mereka berkata: "Tidak! Bahkan nafsu kamu memperelokkan kepada kamu suatu perkara (yang tidak diterima akal). Kalau demikian, bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya, dan Allah jualah yang dipohonkan pertolonganNya, mengenai apa yang kamu katakan itu."

{ Allah menerangkan kesedihan Nabi Yaakub dalam ayat-ayat yang kemudian }

[12:84]Dan (bapa mereka - Nabi Yaakub) pun berpaling dari mereka (kerana berita yang mengharukan itu) sambil berkata: Aduhai sedihnya aku kerana Yusuf, dan putihlah dua belah matanya disebabkan ratap tangis dukacitanya kerana ia orang yang memendamkan marahnya di dalam hati.

[12:85]Mereka berkata: "Demi Allah, ayah tak habis-habis ingat kepada Yusuf, sehingga ayah menjadi sakit merana, atau menjadi dari orang-orang yang binasa".

[12:86](Nabi Yaakub) menjawab: "Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah dan aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya.

{ kemudiannya, di akhir cerita, Yusuf berkata kepada abang-abangnya.. }

[12:93]Pergilah dengan membawa bajuku ini, kemudian letakkan pada muka ayahku supaya ia dapat melihat, dan selepas itu bawalah kepadaku keluarga kamu semuanya".

[12:94]Dan semasa kafilah (mereka meninggalkan Mesir menunju ke tempat bapa mereka di Palestin), berkatalah bapa mereka (kepada kaum kerabatnya yang ada di sisinya): "Sesungguhnya aku ada terbau akan bau Yusuf. Jika kamu tidak menyangka aku sudah nyanyuk (tentulah kamu akan percaya)".

[12:95]Mereka berkata: "Demi Allah! Sesungguhnya ayah masih berada dalam keadaan tidak siumanmu yang lama". [96]Maka sebaik-baik sahaja datang pembawa khabar berita yang mengembirakan itu, dia pun meletakkan baju Yusuf pada muka Nabi Yaakub, lalu menjadilah ia celik kembali seperti sediakala. Nabi Yaakub berkata: "Bukankah aku telah katakan kepada kamu, sesungguhnya aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah akan apa yang kamu tidak mengetahuinya?"

[12:97]Mereka berkata: "Wahai ayah kami! Mintalah ampun bagi kami akan dosa-dosa kami; sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah".

[12:98]Nabi Yaakub berkata: "Aku akan meminta ampun bagi kamu dari Tuhanku; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".

[12:99]Maka ketika mereka (Nabi Yaakub dan keluarganya) masuk (ke Mesir) menemui Yusuf, Yusuf segera menyambut serta memeluk kedua ibu bapanya, sambil berkata: "Masuklah kamu ke negeri Mesir, insya Allah kamu berada di dalam aman.

Lihatlah, betapa sabar dan begitu lama sekali sabarnya Nabi Yaakub itu, dan dia tidak pernah berputus asa daripada rahmat Allah swt.

Haruslah kita ingat bahawa kita hanyalah hamba kepada Allah, tuhan yang Maha Kuasa dan Maha Bijaksana. Dia lah yang menentukan segalanya sama ada menunaikan doa kita atau menggantikannya dengan balasan yang lain.

Dan di akhir Surah Yusuf itu, Allah memberi peringatan kepada kita semua:

[12:111]Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab ugama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman. Benarlah kata-kata Allah yang Maha Agung.

Allahu'a'lam. Wassalam.

::si semut

Friday, April 3, 2009

Bicara 8, Tentang Kehidupan

Assalamu'alaikum.

Bicara Tentang Kehidupan

Daripada Al-Quran surah Al-Mulk, ayat 2:
[67:2] Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);

Daripada ayat di atas, jelaslah kenapa kita di hantar oleh Allah s.w.t ke dunia ini. Tidak lain dan tidak bukan, pentas dunia ini adalah ujian atau peperiksaan bagi kita semua. Peperiksaan dalam bentuk amali ini dihadapi oleh setiap individu. Setiap daripada kita mendapat 'soalan-soalan' yang baru dalam situasi-situasi yang tertentu yang telah ditakdirkan oleh Allah. Dari tindakan kita dalam situasi-situasi tersebut, dapat dikenal antara kita ini, siapakah yang lulus dan siapakah yang gagal, ya, siapa yang baik akan ke syurga dan yang tidak akan ke neraka Allah. (nauzubillahi minzalik)

Adakah kita telah dan akan 'menjawab' soalan-soalan peperiksaan ini dengan jawapan yang betul, atau kah kita tewas dengan nafsu dan bisikan-bisikan jahat, lalu kita 'menjawab' dengan jawapan yang salah?

Harus diingatkan bahawa ujian Allah itu bukan sahaja dalam bentuk kedukaan, kesusahan, kemalangan atau kesakitan sahaja. Malah 'durian runtuh' juga adalah salah satu bentuk ujian daripada Allah. Setiap kita sememangnya sedar bahawa kesakitan dan kesusahan itu ialah ujian dan insyaAllah kita dapat bersabar dalam menempuh ujian sebegitu.

Tetapi bagaimanakah pula dengan ujian dalam bentuk kesenangan, kemudahan dan kemewahan. Adakah kita boleh bersabar untuk tidak mempergunakan kesenangan dan kemewahan kita untuk melakukan perkara yang melalaikan dan pembaziran. Adakah kita terus bersyukur dengan melipatkali gandakan ibadah kita kepada Allah, atau kah dengan kesenangan itu ibadah kita semakin kurang dan solat kita makin lewat.

Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk menghadapi segala bentuk ujian ini.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya bagi setiap umat itu mempunyai ujian dan ujian bagi umatku adalah harta kekayaan.” (Hadis riwayat at-Tirmizi).

Dan satu lagi Hadith petikan dari Shahih Muslim (2492),

Dari 'Amru bin 'Auf r.a., seorang kepercayaan Bani 'Amir bin Lu-ai yang ikut perang Badar bersama-sama Rasulullah s.a.w. menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. mengutuskan Abu 'Ubaidah bin Jarrah ke Bahrain untuk memungut pajak. Rasulullah s.a.w. telah mengadakan perjanjian damai dengan penduduk Bahrain dan mengangkat Al 'Ala bin Al Hadhrami sebagai kepala pemerintahan mereka.

Abu 'Ubaidah datang membawa harta dari Bahrain, dan orang-orang Anshar mendengar tentang kedatangan Abu 'Ubaidah tersebut. Lalu mereka beramai-ramai mendatangi shalat Subuh bersama-sama Rasulullah s.a.w. .

Setelah selesai shalat, beliau berpaling ke belakang lalu mereka berdatangan ke hadapan beliau. Rasulullah tersenyum melihat mereka, kemudian beliau bersabda, "Aku menduga tentu kamu sekalian telah mendengar bahawa Abu 'Ubaidah telah datang dari Bahrain membawa sesuatu." Jawab mereka, "Benar, ya Rasulullah!".

Sabda beliau, "Bergembiralah dan renungkanlah apa sesungguhnya yang mengembirakan kamu. Demi Allah! Aku tidak mengkuatirkan kemelaratan menimpa kamu, tetapi yang aku kuatirkan ialah bila kemewahan dunia menimpamu sebagaimana orang-orang yang sebelum kamu ditimpa kemewahan dunia. Lalu kamu berlomba-lomba (dengan kemewahan) dan kamu binasa seperti mereka."

Allahu'a'lam.