Friday, April 3, 2009

Bicara 8, Tentang Kehidupan

Assalamu'alaikum.

Bicara Tentang Kehidupan

Daripada Al-Quran surah Al-Mulk, ayat 2:
[67:2] Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);

Daripada ayat di atas, jelaslah kenapa kita di hantar oleh Allah s.w.t ke dunia ini. Tidak lain dan tidak bukan, pentas dunia ini adalah ujian atau peperiksaan bagi kita semua. Peperiksaan dalam bentuk amali ini dihadapi oleh setiap individu. Setiap daripada kita mendapat 'soalan-soalan' yang baru dalam situasi-situasi yang tertentu yang telah ditakdirkan oleh Allah. Dari tindakan kita dalam situasi-situasi tersebut, dapat dikenal antara kita ini, siapakah yang lulus dan siapakah yang gagal, ya, siapa yang baik akan ke syurga dan yang tidak akan ke neraka Allah. (nauzubillahi minzalik)

Adakah kita telah dan akan 'menjawab' soalan-soalan peperiksaan ini dengan jawapan yang betul, atau kah kita tewas dengan nafsu dan bisikan-bisikan jahat, lalu kita 'menjawab' dengan jawapan yang salah?

Harus diingatkan bahawa ujian Allah itu bukan sahaja dalam bentuk kedukaan, kesusahan, kemalangan atau kesakitan sahaja. Malah 'durian runtuh' juga adalah salah satu bentuk ujian daripada Allah. Setiap kita sememangnya sedar bahawa kesakitan dan kesusahan itu ialah ujian dan insyaAllah kita dapat bersabar dalam menempuh ujian sebegitu.

Tetapi bagaimanakah pula dengan ujian dalam bentuk kesenangan, kemudahan dan kemewahan. Adakah kita boleh bersabar untuk tidak mempergunakan kesenangan dan kemewahan kita untuk melakukan perkara yang melalaikan dan pembaziran. Adakah kita terus bersyukur dengan melipatkali gandakan ibadah kita kepada Allah, atau kah dengan kesenangan itu ibadah kita semakin kurang dan solat kita makin lewat.

Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk menghadapi segala bentuk ujian ini.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya bagi setiap umat itu mempunyai ujian dan ujian bagi umatku adalah harta kekayaan.” (Hadis riwayat at-Tirmizi).

Dan satu lagi Hadith petikan dari Shahih Muslim (2492),

Dari 'Amru bin 'Auf r.a., seorang kepercayaan Bani 'Amir bin Lu-ai yang ikut perang Badar bersama-sama Rasulullah s.a.w. menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. mengutuskan Abu 'Ubaidah bin Jarrah ke Bahrain untuk memungut pajak. Rasulullah s.a.w. telah mengadakan perjanjian damai dengan penduduk Bahrain dan mengangkat Al 'Ala bin Al Hadhrami sebagai kepala pemerintahan mereka.

Abu 'Ubaidah datang membawa harta dari Bahrain, dan orang-orang Anshar mendengar tentang kedatangan Abu 'Ubaidah tersebut. Lalu mereka beramai-ramai mendatangi shalat Subuh bersama-sama Rasulullah s.a.w. .

Setelah selesai shalat, beliau berpaling ke belakang lalu mereka berdatangan ke hadapan beliau. Rasulullah tersenyum melihat mereka, kemudian beliau bersabda, "Aku menduga tentu kamu sekalian telah mendengar bahawa Abu 'Ubaidah telah datang dari Bahrain membawa sesuatu." Jawab mereka, "Benar, ya Rasulullah!".

Sabda beliau, "Bergembiralah dan renungkanlah apa sesungguhnya yang mengembirakan kamu. Demi Allah! Aku tidak mengkuatirkan kemelaratan menimpa kamu, tetapi yang aku kuatirkan ialah bila kemewahan dunia menimpamu sebagaimana orang-orang yang sebelum kamu ditimpa kemewahan dunia. Lalu kamu berlomba-lomba (dengan kemewahan) dan kamu binasa seperti mereka."

Allahu'a'lam.

No comments:

Post a Comment